Pernahkah kamu mengalami situasi yang kamu rasakan diri kamu sangat lamban dan tidak bermaya? Padahal kamu telah membuat waktu sunyi dengan baik dan berdoa kepada Tuhan segenap hati. Kamu mendengarkan suara-Nya sehingga kamu merasa lega. Namun, beberapa waktu selepas itu, kamu merasa lamban dan jiwa kamu bergolak seperti ada saja yang tidak kena. Kamu mula bertanya, 'Tuhan apakah yang terjadi kepadaku. Kenapakah hatiku seperti ada saja yang tidak kena?' What's wrong with me' Kamu cuba mencari punca tetapi tidak berjaya.
Dalam waktu begini, kamu berdoa kepada Tuhan, Tuhan apakah kesalahanku dan apakah yang harus kuperbuat. Aku tidak mahu jadi seperti ini. Namun, kamu rasa seperti diri kamu dibiarkan dalam keadaan terombang-ambing. Ombak memukuli jiwamu sehingga kamu merana seketika dengan ketidaksenangan di dalam hatimu. Inilah yang saya alami.
Seketika selepas saya mengalami perkara ini, saya mula mengerti dengan satu perkara. Dalam situasi bergini, apa yang saya dapat simpulkan ialah, kamu memang tidak memiliki kesalahan dalam waktu sunyimu, tidak juga kamu salah dalam doamu dan waktu pembacaan Firman Tuhan. Kamu tidak salah dalam ini, kamu tidak kurang dalam begini. Tuhan juga tidak pernah mengabaikan kamu dan tidak pernah membiarkan kamu dalam sendirian. Dia bukannya tidak tahu kamu dalam kekalutan dan hatimu dalam kesesakan yang tidak kamu tahu apakah puncanya.
Puncanya ialah kamu sekarang berada dalam peperangan yang tidak kelihatan. Dalam situasi peperangan rohani, kamu mula mendapati bahawa kamu bergumul dengan pemikiran dan hatimu. Namun, syukur sebab rohmu telah diselamatkan Tuhan melalui kekuatan-Nya sebab kamu sudah awal bersedia dengan Firman dan doamu sebelum ini. Tuhan memperhatikan kamu dari awal dan dia sudah tahu kamu mengalaminya. Namun demikian, segala yang ada padamu haruslah diuji agar kemurnian doa dan Firman yang kau pelajari adalah terbukti.
Dalam peperangan tersebut, kamu memang perlukan setiap perlengkapan senjata yang Tuhan sediakan. Memang Tuhan berperang untuk orang Israel tetapi Dia membenarkan orang Israel mengalami suasana perang dan berusaha untuk mendapatkan kemenangan. Kemenangan tidak datang dengan hanya berbicara tetapi dengan usaha, jerih payah dan kelukaan juga. Jika kamu bertekun dan kamu tahan uji, kamu akan mendapat kemenangan. Namun, jika kamu membiarkan hatimu dibawa oleh arus kelambanan, kamu akan kalah.
Lawanlah Iblis, maka Ia akan menjauh daripadamu!