Friday, 26 September 2014

Pencobaan Di Padang Gurun

Yesus ketika dicobai di padang gurun. Matius 4:1-11  Maka Yesus dibawa oleh Roh ke padang gurun untuk dicobai Iblis. Dan setelah berpuasa empat puluh hari dan empat puluh malam, akhirnya laparlah Yesus.
Lalu datanglah si pencoba itu dan berkata kepada-Nya: "Jika Engkau Anak Allah, perintahkanlah supaya batu-batu ini menjadi roti."Tetapi Yesus menjawab: "Ada tertulis: Manusia hidup bukan dari roti saja, tetapi dari setiap firman yang keluar dari mulut Allah." Kemudian Iblis membawa-Nya ke Kota Suci dan menempatkan Dia di bubungan Bait Allah, lalu berkata kepada-Nya: "Jika Engkau Anak Allah, jatuhkanlah diri-Mu ke bawah, sebab ada tertulis: Mengenai Engkau Ia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya dan mereka akan menatang Engkau di atas tangannya, supaya kaki-Mu jangan terantuk kepada batu."  Yesus berkata kepadanya: "Ada pula tertulis: Janganlah engkau mencobai Tuhan, Allahmu!" Dan Iblis membawa-Nya pula ke atas gunung yang sangat tinggi dan memperlihatkan kepada-Nya semua kerajaan dunia dengan kemegahannya, dan berkata kepada-Nya: "Semua itu akan kuberikan kepada-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku." Maka berkatalah Yesus kepadanya: "Enyahlah, Iblis! Sebab ada tertulis: Engkau harus menyembah Tuhan, Allahmu, dan hanya kepada Dia sajalah engkau berbakti!" Lalu Iblis meninggalkan Dia, dan lihatlah, malaikat-malaikat datang melayani Yesus.

Ketika kita menerima Yesus dalam sebagai Tuhan kita, hidup kita tidak akan menjadi lebih mudah dan tidak senang. Ini adalah kita bergumul dengan dunia di dalam roh kita yang diselamatkan. Mengenal Tuhan tidak akan mengurangkan pencobaan dalam hidup kita kerana roh akan membawa kita dicobai untuk mengenalpasti keaslian iman kita. Yesus dibawa oleh Roh untuk dicobai di padang gurun.

Di sana, Yesus diuji secara fizikal dan keinginan tubuh sama ada Dia mampu untuk mengawal keinginan daging sebagai seorang manusia. Dia kelaparan dan kehausan ketika berada di padang gurun. Kita turut dicobai dengan cara yang sama iaitu kemampuan kita mengawal nafsu dan juga keperluan kita setiap hari. Namun, Yesus tetap berjalan  dalam iman-Nya. Dia memilih kehendak Tuhan dan firman Tuhan berbanding dengan roti iaitu kehendak tubuh. Di sini kita perlu ingat bahawa Dia adalah manusia, daging seperti kita yang memiliki keinginan namun mempunyai pengawalan diri yang tinggi.

Apabila iblis gagal memesongkan keinginan daging, iblis cuba untuk mempengaruhi Yesus agar meragui identitinya sebagai Anak Allah dengan menguji sejauh mana Allah menjaga dan melindunginya. Namun, Yesus memilih untuk percaya kepada Bapa yang di Surga berbanding dengan ajakan iblis untuk menguji hati Napa terhadapnya. Dalam pemikiran kita akan ada satu persoalan di mana kita akan mula meragui Tuhan, apakah Tuhan akan menyediakan segala apa yang kita inginkan? Apakah Dia akan sentiasa bersama kita selalu? Betulkah Tuhan itu mengasihi kita? Adakah Dia benar-benar peduli akan kita? Kita menginginkan bukti daripada Tuhan bahawa Dia mengasihi kita. Kita seringkali menguji kebesaran Tuhan dengan terjun ke satu situasi yang sukar yang tidak perlu dilakukan. Dan apabila Dia berdiam tidak menjawab doa kita, kita fikir Dia tidak mengasihi kita. Di sana keraguan mula timbul dalam peribadi kita,  apakah saya betul-betul anak Allah yang dikasihi Tuhan? Bukankah Dia adalah pembekalan kita? Keraguan kita terhadap identiti sebagai anak Allah adalah pencobaan yang pernah dialami Yesus. Sama seperti Yesus, kita mahu memilih percaya kepada Bapa berbanding dengan suara asing  yang mengganggu pemikiran kita. Apabila kita memiliki perhubungan dengan Tuhan secara intim, kita dapat mengenal suara Tuhan.

Iblis tidak berhenti begitu saja untuk mencobai Yesus. Dia akhirnya menawarkan dunia dan juga segala kekayaan yang ada sekiranya Yesus menyembahnya. Namun demikian, Yesus tidak menjawab tawaran iblis itu sekalipun. Tetapi Dia mengenyahkan iblis di hadapan-Nya serta merta dan mengakui hanya Tuhan sahaja yang layak disembah. Kita seringkali ditipu oleh tawaran dunia yang nampaknya megah tetapi tidak berkekalan. Pada waktu kita mula berfikir untuk sesuatu yang kita inginkan dan kejar, kita harus menyelidiki hati kita dan bertanya apakah saya masih menyembah Tuhan sekiranya saya memperoleh apa yang saya inginkan? Jika anda berfikir panjang dalam hal ini, cepat-cepat pendekkan persoalan yang ada dan berdoa kepada Tuhan. Jawapan seterusnya adalah cari di dalam Firman-Nya sebab hanya Injil yang membawa anda kepada terang Tuhan.
Setelah Yesus berjaya menghalau iblis, Bapa menghulurkan bantuan kepada-Nya dan malaikat datang melayani Dia. Kesimpulannya, segala pencobaan yang kita alami adalah berkaitan rapat dengan pilihan yang kita buat sama ada untuk memilih keinginan sendiri atau Firman Tuhan. Iblis mencobai apa yang terkandung dalam hati kita dan bukannya situasi kita. Apakah yang paling kita hargai. Namun, jika kita berjaya memilih kebenaran Tuhan, maka Tuhan akan menghulurkan bantuan pada waktunya. Jika kamu mahu melihat perubahan terjadi dalam hidupmu, cari dahulu kerajaan Allah dan kebenarannya, maka semuanya akan ditambahkan kepadamu.

Doa: Bapa di Surga, saya memilih untuk berkenan dan hidup benar di hadapan Engkau. Bawalah saya ke jalan menuju kepada kerajaanmu dan bukannya memuaskan keinginan saya sendiri. Jangan biarkan saya di dalam pencobaan dan jauhkanlah saya dari yang jahat. Dengan kuasa yang diberikan oleh Yesus Kristus, saya mengenyahkan iblis daripada hidup saya. Amen.

No comments:

Post a Comment