Friday, 26 September 2014

Perdamaian Yang Memerdekakan

Matius 5:20-26  20 Maka Aku berkata kepadamu: Jika hidup keagamaanmu tidak lebih benar dari pada hidup keagamaan ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi, sesungguhnya kamu tidak akan masuk ke dalam Kerajaan Sorga. 21 Kamu telah mendengar yang difirmankan kepada nenek moyang kita: Jangan membunuh; siapa yang membunuh harus dihukum. 22 Tetapi Aku berkata kepadamu: Setiap orang yang marah terhadap saudaranya harus dihukum; siapa yang berkata kepada saudaranya: Kafir! harus dihadapkan ke Mahkamah Agama dan siapa yang berkata: Jahil! harus diserahkan ke dalam neraka yang menyala-nyala.
23 Sebab itu, jika engkau mempersembahkan persembahanmu di atas mezbah dan engkau teringat akan sesuatu yang ada dalam hati saudaramu terhadap engkau,
24 tinggalkanlah persembahanmu di depan mezbah itu dan pergilah berdamai dahulu dengan saudaramu, lalu kembali untuk mempersembahkan persembahanmu itu. 25 Segeralah berdamai dengan lawanmu selama engkau bersama-sama dengan dia di tengah jalan, supaya lawanmu itu jangan menyerahkan engkau kepada hakim dan hakim itu menyerahkan engkau kepada pembantunya dan engkau dilemparkan ke dalam penjara.
26 Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya engkau tidak akan keluar dari sana, sebelum engkau membayar hutangmu sampai lunas.

Tajuk: Perdamaian yang Memerdekakan

Mengajar Firman Tuhan tidak cukup hanya dengan perkataan tetapi turut menjadi pelakunya. Hidup benar adalah hidup sebagai pelaku Firman Tuhan iaitu dalam kasih, perkataan dan mencari pedamaian.

Kemarahan adalah satu punca manusia melakukan kejahatan baik dalam perbuatan dan perkataan yang keluar daripada mulut. Kemarahan ini akan menimbulkan konflik di dalam sesetengah orang yang mendengar perkataan kesat yang pernah kita luahkan.

Sebab itu, dalam ayat 23 menyatakan bahawa kita perlu meninggalkan persembahan kita jika kita mengetahui ada sesetengah orang kurang senang dan tidak berpuashati dengan perbuatan kita. Orang inilah yang harus kita kenali dan temui untuk berdamai dengan mereka. Sebabnya ialah kita telah menimbulkan perangkap terhadap diri kita. Akibat kemarahan kita telah mencetuskan kepahitan dalam hati orang. Inilah yang menyebabkan kita berdosa.

Meskipun kita sudah mengenepikan apa yang terjadi, jangan lupa pendakwa kita telah bersiap sedia mendakwa kita atas kesalahan yang kita lakukan. Pendakwa kita adalah sang iblis. Dia akan membuat pelbagai tuduhan terhadap kita dan apabila tuduhan itu benar, kita pula akan dihakimi.

Orang yang bersalah biasanya akan dipenjarakan sehingga tempoh hukuman selesai. Penjara adalah satu tempat di mana kita dirantai dan tidak bebas. Dalam kerohanian, penjara adalah sesuatu yang menyekat pertumbuhan kita. Sebab itu, perdamaian adalah penting untuk membebaskan peribadi kita daripada belenggu dosa yang menjadi kepahitan bagi orang lain.

Tuhan adalah hakim yang adil dan setiap orang akan menuai daripada apa yang ditabur. Selagi kita belum berdamai dengan sesetengah orang, kita akan sentiasa dibelenggu. Sekiranya anda mendapati diri kamu dalam situasi ini, ambil masa untuk berdiam dan dorong diri kamu sendiri untuk berdamai dengan yang lain. Ketidakpedulian kita terhadap kepahitan orang lain atas perbuatan kita hanya membuatkan si pendakwa menang. Berdamailah, maka kamu akan merasakan pembebasan terjadi ke atas diri kamu sendiri. Haleluya!

Doa: Bapa seperti Engkau mengampuni, kami juga mahu mengampuni. Ampunilah segala kesalahan kami dan lepaskanlah kami daripada kemarahan dan dendam. Berikanlah kami keberanian untuk berdamai dengan orang yang kami sakiti. Dalam nama Yesus. Amen.

No comments:

Post a Comment